Istanbul – Part 6

EYUP

PicsArt_01-31-08

Eyup adalah salah satu destinasi yang wajib dilawati oleh umat Islam jika ke Istanbul. Pekan Eyüb yang terletak di pinggir Istanbul kini menempatkan makam seorang sahabat yang begitu setia dengan Nabi dan Islam sehingga ke akhir hayatnya. Perjalanannya yang jauh dari tanah kelahirannya di Kota Madinah sehingga ke tempat persemadiannya di Kota Istanbul merupakan kisah yang perlu diamati oleh penggemar sirah Rasulullah. Begitu juga jasanya yang besar kepada perkembangan awal agama Islam itu sendiri. Sahabat tersebut tidak lain tidak bukan adalah Abu Ayub Al-Ansari R.A

Tidak susah untuk ke Eyup, paling mudah ialah menggunakan teksi, atau bas. Tapi yang paling menarik ialah menggunakan ferry.

Eyup Ferry

Ferry bermula daripada Eminonu Estuary Jetty atau Eminönü Haliç İskelesi dengan tambang 3 Lira. Boleh guna Istambulkart. Perjalanan ke Eyup ambil masa dalam 45 minit dan akan singgah beberapa tempat seperti Kasimpasa, Fener, Haskov, Ayvansaray, Sutkuce dan kemudian Eyup. Laluan ini jugalah yang digunakan untuk Cruise Golden Horn. Bermakna jika ke Eyup naik ferry, dapatlah buat dua perkara sekali jalan, disamping melawat Eyup kita juga buat Golden Horn Cruise. lagipun kalau naik ferry takdelah tempuh jam.

Eyup 8

Salah satu perhentian ferry ke Eyup

 

Riwayat Ayoup Al Ansari RA

Dilahirkan pada 587M yakni 16 tahun setelah kelahiran Rasullulah, Abu Ayub Al-Ansari atau nama sebenarnya, Khalid bin Zaid bin Khulaib, merupakan antara sahabat terawal di Madinah yang memeluk Islam. Berasal daripada Bani Najjar yakni daripada suku kaum Khazraj di Madinah, Abu Ayub merupakan salah seorang dari 75 pengikut rombongan kaum Ansar yang berbai’at kepada Rasullulah di Aqabah.

Kisah bermula setelah Nabi sampai ke Kota Madinah dalam peristiwa Hijrah. Setelah beberapa hari berlindung di Masjid Quba yakni masjid pertama yang disebut dalam Quran, Rasullulah akhirnya berangkat ke pintu kota sambil menaiki unta mencari tempat tinggal sementara menunggu siapnya rumah dan masjid baginda. Setibanya di pintu kota, baginda disambut dengan penuh meriah oleh penduduk Madinah.

Pada ketika inilah beberapa orang pemilik rumah turun ke jalanan menghalang perjalanan unta Nabi apabila baginda melintasi rumah mereka. Mereka merayu agar Rasullulah tinggal bersama mereka. Namun baginda sudah menetapkan tempat tinggalnya akan dipilih dimana unta tersebut akhirnya berhenti dan berehat atas perintah Allah S.W.T.

Tinggallah bersama kami, wahai Rasullulah…,” seorang demi seorang berkata apabila Nabi melintasi hadapan rumah mereka, “… bilangan kami banyak, persediaan cukup dan keamanan terjamin”, ujar mereka lagi. Mereka berdiri di hadapan unta baginda sambil mencegat tali kekangan unta tersebut dengan harapan baginda menerima tawaran mereka. Begitu semangatnya penduduk Madinah yang tidak melepaskan peluang menerima kunjungan hormat Nabi mereka ke dalam rumah mereka. Tawaran mereka itu ditolak dengan lembutnya oleh Rasullulah: “Biarkanlah, jangan halangi jalannya (unta baginda), kerana ia hanya melaksanaka perintah! (dari Allah)…”

Satu demi satu perkampungan dilewati Rasullulah, dari perkampungan Bani Salim bin Auf, terus ke perumahan Bani Bayadhah, Bani Sa’idah, Bani Hariths Ibnul Khazraj dan kemudian sampai ke perkampungan Bani ‘Adi bin Najjar, setiap perkampungan yang Nabi lewati perkara sama berlaku apabila pemilik rumah menghalang perjalanan unta baginda. Setiap daripada tawaran tersebut ditolak selagi unta tersebut belum berhenti. Berkali-kali baginda mengingatkan: “Lapangkan jalannya, kerana ia terperintah! (oleh Allah)” Demikianlah ketetapan baginda yang menyerahkan pemilihan tempat tinggalnya kepada Qadar Illahi, kerana dari tempat diberkati-Nya itulah akan kelak membawa masyhur kepada Allah dan Rasulnya.

Di perkampungan Najjar inilah terdapat saudara jauh Rasullulah (Salma binti ‘Amr, moyang Rasullulah berasal daripada Bani Najjar). Seorang pemimpin Bani Najjar, Salit bin Kais bersama bapanya bertemu dengan Rasullulah dan menawarkan untuk tinggal bersama mereka: “Ya Rasullulah, saudara kami, tinggallah bersama kami…,” pelawa Salit. Namun pelawaan tersebut juga ditolak dengan baik oleh Rasullulah.

Akhirnya unta baginda sampai ke perkampungan Bani Malik bin Najjar sambil diekori oleh orang ramai. Di situlah unta tersebut mulai terhenti di sebuah kawasan lapang di hadapan rumah Abu Ayub Al-Ansari namun Rasullulah tidak terus turun dari untanya. Unta tersebut bergerak sekali lagi namun tidak lama kemudian berpatah balik ke tempat yang sama dan akhirnya berehat di situ tanpa berganjak lagi. Pada masa inilah hati Abu Ayub mulai memancar rasa kegembiraan yang teramat sangat. Beliau serta merta menyambut kedatangan Rasullulah ke rumahnya dengan penuh kasih sayang sambil membawa turun barangan baginda seolah-olah ianya benda yang paling beharga di muka bumi ini. Akhirnya takdir Allah telah membawa baginda Rasullulah S.A.W untuk memilih rumah Abu Ayub Al-Ansari sebagai tempat tinggalnya di Madinah. Sungguh beruntung buat Abu Ayub menerima kunjungan utusan Allah yang membawa rahmat ke seluruh alam.

Selama hampir tujuh bulan Rasullulah tinggal bersama Abu Ayub Al-Ansari di rumahnya sementara menunggu siapnya masjid baginda yang dibina di kawasan lapang di mana unta baginda tersebut berhenti. Tanah tersebut pada asalnya milik dua orang pemuda bernama Sahal dan Suhayl yang menawarkan tanah tersebut secara percuma kepada Rasullulah. Namun Rasullulah tetap mengenakan harga kepada tanah tersebut memandangkan kedua beradik tersebut masih muda dan telah kehilangan ayah mereka. Tanah tersebut kemudiannya dibeli oleh Abu Ayub yang mewakafnya untuk pembinaan Masjidil Nabawi bagi pihak Rasullulah. Kita tidak boleh bayangkan betapa besar amalan yang dimiliki Abu Ayub walaupun dia sudah lama meninggal dunia kerana telah mewakafkan tanah tersebut untuk pembinaan Masjid Nabawi, masjid kedua termulia dalam Islam.

Rumah Abu Ayub terdiri dari dua tingkat. Beliau telah mengosongkan tingkat atas dengan harapan Rasullulah boleh menginap di situ. Namun, Nabi lebih suka menginap di tingkat bawah rumah tersebut dan Abu Ayub bersama isterinya bersetuju untuk kekal di tingkat atas rumah tersebut. Namun, apabila malam menjelma dan Rasullulah berehat, hati Abu Ayub dan isterinya tidak berasa senang memikirkan kedudukan mereka yang berada di atas Rasullulah. “Celakalah kita! Apa yang kita telah lakukan? Rasullulah berada di bawah dan kita di atasnya! Adakah kita berjalan atas Rasullulah? Adakah kita menghalang sampainya wahyu Allah kepada baginda!? Jika benar, maka binasalah kita!” resah Abu Ayub kepada isterinya. Maka dengan inilah pasangan suami isteri tersebut memilih untuk berjalan dan tidur di tepian sudut tingkat atas agar tidak berada betul-betul di atas Rasullulah.

Pada keesokan harinya Abu Ayub bertemu dengan Rasullulah lalu berkata: “Demi Allah, kami sedikit pun tidak dapat melelapkan mata malam tadi.

Dengan hairan, Rasullulah bertanya: “Mengapa begitu wahai Abu Ayub?”

Abu Ayub kemudiannya meluahkan kebimbangannya malam semalam mengenai kedudukan mereka di atas baginda yang mungkin akan menganggu penyampaian wahyu kepada baginda.

Janganlah bimbang wahai Abu Ayub”, ujar Rasullulah, “Kami lebih suka tinggal di tingkat bawah kerana senang orang ramai menziarahi kita.” Dengan itu, Abu Ayub akur dengan keputusan Rasullulah.

Namun terjadinya peristiwa di satu malam di mana sebuah kendi milik Abu Ayub telah pecah dan air tertumpah di lantai tingkat atas rumahnya. Bimbang air tersebut menyerap dan menitik ke tingkat bawah tempat Rasullulah menginap, Abu Ayub dan isterinya lantas mengelap tumpahan tersebut menggunakan sehelai kain baldu yang mereka gunakan sebagai selimut. Bimbang perkara tersebut berulang lagi Abu Ayub bertemu dengan Rasullulah pada keesokan harinya.

Aku tidak senang berada di atasmu” kata Abu Ayub sambil menceritakan perkara yang berlaku pada malam tadi. Baginda akhirnya menerima permintaan Abu Ayub untuk bertukar tempat. Begitu besarnya kasih sayang Abu Ayub kepada Rasullulah dalam memastikan baginda sentiasa selesa menginap di rumahnya.

Dan begitulah keadaannya sepanjang 7 bulan Nabi menginap di rumah Abu Ayub Al-Ansari. Setelah 7 bulan berlalu, akhirnya masjid Nabi telahpun siap sekali dengan rumah baginda yang terletak bersebelahan dengan masjid tersebut. Walaupun Rasullulah telah berpindah ke rumah tersebut, baginda dengan keluarga Abu Ayub Al-Ansari kekal sebagai jiran yang rapat dan hubungan Silaturrahim tetap terjalin di antara mereka. Tidak ada formaliti dalam hubungan sesama mereka malah Nabi masih menganggap rumah Abu Ayub seperti rumahnya sendiri.

Pada satu hari, Sayiddina Abu Bakar R.A telah keluar rumah menuju ke masjid di kala panas terik waktu tengahari. Sayiddina Umar R.A yang juga keluar dari rumah terserempak dengan beliau lalu menegur: “Wahai Abu Bakar, mengapa kamu keluar pada waktu sebegini?” Abu Bakar memberitahu bahawa beliau sangat lapar pada waktu itu maka Umar juga mengakui perkara yang sama.

Kemudian Rasullulah terserempak dengan mereka berdua lalu bertanya: “Apa yang membuatkan kamu berdua keluar pada waktu sebegini?” Setelah kedua-dua sahabat tersebut memberitahu sebab mereka maka baginda berkata: “Demi Allah yang jiwaku di tanganNya, hanya laparlah yang membuat aku keluar juga. Marilah ikut bersamaku.” Maka kedua-dua sahabat tersebut mengikut baginda ke rumah Abu Ayub Al-Ansari.

Apabila mereka tiba di rumah Abu Ayub, hanya isteri beliau yang menyambut kedatangan mereka maka mereka bertanyakan ke manakah Abu Ayub telah pergi. Abu Ayub yang pada waktu itu bekerja di kebun kurma berhampiran rumahnya itu terdengar suara mereka lalu bergegas menemui mereka. “Selamat datang kepada Rasul dan siapa saja yang bersamanya,” katanya dengan gembira, “Wahai Rasulullah, biasanya engkau tidak datang pada waktu begini” ujar beliau. Setiap hari Abu Ayub akan menyimpan sedikit makanan sekiranya Nabi melawatnya. Jika tidak, Abu Ayub akan memberikan makanan tersebut untuk keluarganya.

“Benar katamu,” jawab Rasullulah.

Lalu Abu Ayub keluar dan memotong setandan kurma dari kebunnya dan membawanya untuk dinikmati tetamu beliau. Rasullulah melihat tandan kurma yang mengandungi kurma yang masak (busr) dan seperuh masak (rutb) lalu menegur: “Aku tidak mahu engkau memotong yang ini. Mengapa engkau tidak bawakan kurma yang masak sahaja?” Abu Ayub menjawab: “Wahai Rasullulah, makanlah kurma yang masak dan separuh masak itu. Aku juga akan menyembelih seekor kambing untukmu.” Lalu Rasullulah memesan beliau: “Jikalau begitu, jangan sembelih kambing yang ada susu.”

Abu Ayub kemudiannya menyembelih seekor kambing, memasak separuh dan memanggang separuh lagi. Abu Ayub juga meminta isterinya membuat roti kerana isterinya lebih pandai dalam hal tersebut. Setelah hidangan tersedia di hadapan Rasullulah dan kedua sahabatnya itu, baginda meletakkan sekeping daging di atas roti lalu meminta Abu Ayub memberikannya kepada Fatimah puteri baginda kerana Fatimah lama tidak menikmati hidangan sebegitu.

Selesai makan dan merasa puas, Nabi S.A.W berkata: “Roti dan daging, busr dengan rutb!” Air mata mulai mengalir dari kelopak matanya lalu menyambung: “Ini adalah nikmat yang akan ditanyakan kepada kamu pada hari kiamat kelak. Maka jika kamu makan nikmat itu, ucapkanlah bismillah dan bila selesai katakanlah Alhamdulillahillazi huwa ashba’na wa an’ama a laina (Segala puji bagi Allah yang telah mencukupkan kami dan menganugerahkan nikmat ke atas kami). Ini adalah baik.”

Begitu sedikit imbasan mengenai kehidupan Abu Ayub Al-Ansari yang sungguh taat dan sayang kepada Rasullulah dan begitu juga kasih sayang Rasullulah terhadap Abu Ayub. Isteri Abu Ayub juga rapat dengan Saiyidatina Aisyah R.A isteri Rasullulah malah pasangan suami isteri itu juga antara sekelompak sahabat Rasullulah yang melindungi kemuliaan Saiyidatina Aisyah dalam gelombang fitnah setelah berlakunya peperangan Al-Muraisi. Dalam peristiwa tersebut Sayidatina Aisyah telah difitnah berzina dengan Safwan bin al-Muattol oleh ketua munafik itu sendiri, Abdullah bin Ubai. Menurut Ibn Hisham, bukti kepatuhan dia pada Nabi juga ditunjukkan dalam peristiwa beliau mengusir para munafiqin dari Masjid Nabawi setelah mereka menghina kaum Muslimin di sana.

Jasanya kepada perkembangan Islam tidak terhad pada peristiwa Hijrah sahaja. Beliau juga mempunyai pengalaman berperang yang begitu lama di bawah panji Rasullulah S.A.W malah beliau sendiri pernah menjadi pemegang panji Rasullulah dalam beberapa peperangan. Beliau terlibat dalam hampir kesemua peperangan Islam termasuklah Badar, Uhud, Khandak, Tabuk, Khaibar, Muta’ah dan penaklukan Kota Mekah. Abu Ayub sentiasa memegang teguh firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 41 sebagai inspirasi untuk beliau berjuang di bawah panji Islam. Ayat tersebut bermaksud:

Berangkatlah kalian dalam keadaan ringan maupun berat dan berjihadlah dengan harta dan jiwa kalian di jalan Allah.” (Surah At-Taubah: 41)

Meskipun Nabi S.A.W telah wafat pada 632M, Abu Ayub tetap setia berkhidmat di bawah panji Islam yang pada itu dibawah naungan Khilafah Ar-Rasyidin. Setelah Mesir ditawan pada 639M oleh Amr bin Al-As R.A bawah arahan Sayiddina Umar, Abu Ayub teleh berpindah dan membina rumah baru di Fustat (Kaherah) bersebelahan dengan Masjid Amr Al-As. Beliau berjiran dengan beberapa sahabat Nabi seperti Zubair ibn Al-Awwam, Abu Ubaidah, Abu Dhzar dan Abdullah ibn Umar di bawah misi mebawa syiar Islam di Mesir. Beliau juga ditugaskan menjadi imam di Masjid Al-Nabawi ketika pemerintahan Sayiddina Uthman dan tanggungjawab tersebut tetap digalaskan beliau meskipun semasa peristiwa rumah Sayiddina Uthman dikepung dan dibunuh oleh para munafiqin. Seorang hafiz Al-Quran dan juga seorang Ahli Fiqh yang dipercayai, Abu Ayub Al-Ansari juga disenaraikan Imam Al-Bukhari sebagai salah seorang dari 5 orang Ansar yang terlibat dalam pengumpulan semula ayat-ayat Al-Quran setelah wafatnya Rasullulah. Beliau juga terlibat dalam perang Nahrawan semasa zaman pemerintahan Sayiddina Ali R.A dan tetap kekal di sisinya menghadapi tentera Muawiyyah sewaktu perang Siffin. Dia juga pernah dilantik menjadi gabenor di Madinah untuk sementara waktu namun memilih untuk meletakkan jawatan demi menyertai perjuangan Sayiddina Ali di Siffin, wilayah Iraq.

Setelah pembunuhan Sayiddina Ali oleh puak Khawarij, khilafah telah berpindah tangan kepada Muawiyyah R.A yang telah mengasaskan kerajaan Ummayah. Abu Ayub Al-Ansari pada masa itu sudahpun berumur dan memilih untuk mendiamkan diri dan beribadat di rumahnya. Beliau diantara beberapa orang sahabat Rasullulah yang masih hidup di kala hampir kesemua dari mereka telahpun syahid di peperangan, dibunuh mahupun meninggal kerana sakit. Namun apabila semboyan perang telah berbunyi menandakan persiapan tentera Islam untuk mara ke Kota Konstantinople, Abu Ayub lantas mengangkat pedangnya atas kerinduaan untuk berperang demi Islam meskipun umurnya yang hampir menjangkau lebih 90 tahun. Beliau kemudian menyertai pasukan tentera Islam seramai lebih 50,000 orang yang diketuai oleh anak khalifah itu sendiri, Yazid bin Muawiyyah.

Sejarah membuktikan penaklukan Konstantinople memerlukan pertumpahan darah yang teramat sangat dalam jangka masa beratus malah hampir seribu tahun sejak kota tersebut diasaskan oleh Maharaja Rom Konstantin setelah menakluki Anatolia. Hampir seribu tahun sebelum Muhammad Al-Fateh menjejakkan kaki ke kota tersebut malah sebelum bangsa Turki itu sendiri mulai menetap di tanah Anatolia dari Asia Tengah, percubaan menawan kota Konstantinople telah dilakukan oleh berpuluh kerajaan termasuk dari Parsi, Hungaria dan Russia. Setelah kebangkitan empayar Islam di bawah pimpinan Khilafah Ar-Rasyidin, usaha tersebut juga menemui kegagalan buat Khalifah Umar Al-Khattab dan kegagalan ini nampaknya tidak boleh dielakkan oleh Khalifah Muawiyyah dari kerajaan Ummayah. Muawiyyah tahu tentera Byzantin tidak berani melawan tentera Islam di medan perang setelah kekalahan teruk di Yarmuk dan Baitulmaqdis dan memilih untuk berkubu di belakang tembok tinggi Konstantinople, pusat pemerintahan mereka. Muawiyyah tahu menawan Kota Konstantinople bukan perkara mudah malah hampir mustahil memandangkan pertahanan strategik kota tersebut yang dilindungi kubu kuat di bahagian laut, dan dilindungi oleh banteng-benteng pertahanan setinggi lebih 150 kaki di bahagian darat. Namun beliau meneruskan juga pelan tersebut dengan membahagikan tentera Islam untuk menyerang dari dua penjuru, armada laut akan mengepung dari laut dan sebahagian besar tenteranya akan menyerang dari darat. Namun pada hari pertama serangan tersebut, armada laut Umayyah yang mengepung Konstantinople dari laut telah dimusnahkan oleh kapal-kapal Byzantin yang menggunakan teknologi baru ‘Greek Fire’ untuk membakar kapal-kapal Umayyah tersebut. Kini Yazid bin Muawiyyah, yang mengetuai serangan di darat, tidak ada pilihan lain melainkan untuk meneruskan serangan di banteng pertahanan kota tersebut.

Setelah berbulan-bulan merentas darat dan lautan menuju ke Konstantinople, Abu Ayub Al-Ansari yang dalam keadaan terlalu uzur akhirnya sampai bersama sekumpulan tentera Islam yang lain menyertai serangan tersebut. Kehadiran beliau memberi nafas yang baru buat tentera Islam yang berada di situ yang begitu mengagumi sahabat Nabi tersebut. Beliau ibarat permata yang bercahaya dikala waktu yang gelap, sebuah relik pada zaman Rasullulah yang sudah lama berlalu tapi masih bernafas di muka bumi ini. Memang benar, hampir kesemua dari mereka tidak pernah hidup pada zaman Rasullulah, namun kehadiran seorang sahabat yang begitu rapat dengan baginda memberi semangat yang baru buat tentera Islam seolah-olah Rasullulah masih bersama mereka.

Namun begitu, alangkah sayu hati Abu Ayub melihat situasi semasa di situ. Tentera Islam pada waktu itu tidak dalam keaadan teratur dan ramai yang telah terbunuh akibat mara terlalu hampir dengan benteng pertahanan kota tersebut di mana mereka telah dihujani dengan anak panah dan besi lebur yang dituang dari atas. Situasi perang bertukar menjadi pasif, ramai dikalangan tentera Islam tidak berani menghampiri benteng tersebut. Kini serangan mereka terhad dengan penggunaan manjaniq yakni senjata besar yang mampu melontarkan batu melepasi benteng tersebut namun tidak berupaya meruntuhkan benteng itu sendiri yang dibina dari bata dan disimen dengan kukuh.

Salah seorang tentera Islam memberi cadangan: “Kita mampu masuk ke dalam benteng tersebut dengan senjata manjaniq, namun pelurunya bukan peluru mati tetapi manusia! Selesai dilontarkan masuk, ia akan membuka pintu dari dalam dan membiarkan pasukan yang lain masuk! Satu masalah ialah siapa yang akan menjadi peluru hidup itu?

Biarlah saya menjadi orangnya,” berkata Abu Ayub sambil mengangkat jarinya ke atas. Bagaimanapun, cadangan beliau itu ditolak oleh kesemua yang berada di situ kerana bimbang atas faktor usianya. Abu Ayub masih berkeras dengan pendiriannya: “Setidak tidaknya kalaupun nanti saya dilempar dan tidak sampai kesana, setidak tidaknya saya sudah memberi contoh kepada anak anak muda inilah jihad itu!” katanya.

Lantas mereka melupakan pelan tersebut kerana terlalu sayangkan Abu Ayub dan meneruskan serangan mereka terhadap benteng tersebut. Serangan bertubi-tubi tersebut berlangsung selama beberapa hari dengan pihak Byzantin menghantar beberapa rejimen tenteranya ke luar kota untuk menghalang tentera Islam dari memanjat benteng tersebut. Pertempuran hebat berlaku di antara rejimen tentera Byzantin itu dengan tentera Islam. Kelihatan seorang askar Muslim berjaya menembusi jauh ke dalam barisan tentera Byzantin tersebut. Salah seorang askar menempik “Subhanallah, dia telah menuju kearah kehancuran dirinya!” Mendengarnya, Abu Ayub menyahut: “Tidak! Kehancuran yang sebenar adalah meninggalkan perjuangan dan rela hidup menghabiskan harta keduniaan dari berjuang di jalan Allah!” Pertempuran itu berakhir dengan kemenangan tentera Islam namun tentera Byzantin masih mengekalkan pertahanan mereka di benteng tersebut.

Beberapa hari telah berlalu dan Abu Ayub akhirnya jatuh sakit akibat disentri dan luka yang dialaminya dalam pertempuran tersebut. Beliau tidak mampu lagi mengangkat pedangnya untuk meneruskan perjuangan bersama tentera Islam yang lain. Semasa beliau dirawat dalam kem tentera Islam itu, beliau didatangi panglima Yazid bin Muawiyyah yang hendak melawatnya lalu bertanya: “Adakah tuan mahu apa-apa, wahai Abu Ayub?”

Abu Ayub menjawab: “Sampaikan salamku kepada seluruh tentera Islam dan beritahulah mereka, Abu Ayub mahukan mereka menembusi seberapa jauh tembok Konstantinople sehingga mereka beroleh kemenangan dan mengebumikan mereka (kerajaan Byzantin) di bumi Konstantinople”

Kemudian beliau mewasiatkan bahawa dirinya akan dikebumikan di bawah tembok kota konstantinople itu sekiranya beliau tidak sempat melihat kemenangan kaum Muslimin. Bila panglima Yazid menanyakan perihal tersebut beliau menjawab dengan tenat: “Aku mendengar sabda baginda Rasulullah saw mengatakan seorang lelaki soleh akan dikuburkan di bawah tembok tersebut dan aku juga ingin mendengar derapan tapak kaki kuda yang membawa sebaik-baik raja yang mana dia akan memimpin sebaik-baik tentera seperti yang telah diisyaratkan oleh baginda.” Tidak lama selepas itu, beliau akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir. Abu Ayub Al-Ansari, sahabat serumah dan jiran Rasullulah, meninggal dunia pada 674M, 42 tahun setelah wafatnya Rasullulah.

Kata-kata terakhir Abu Ayub itu dipegang teguh oleh panglima Yazid untuk disampaikan kepada tentera Islam yang lain. Berita kematiannya tersebar luas di kalangan tentera Islam seiring wasiat akhirnya. Walaupun begitu sedih dengan pemergiannya, mereka tetap berhasrat untuk penuhi permintaan terakhirnya. Setelah mengkafankannya, tentera Muslimin mengusung jasad Abu Ayub untuk dikebumikan di bawah tembok Konstantinople. Namun mereka terpaksa menempuh serangan bertubi-tubi tentera Byzantin yang datang dari kota tersebut. Satu demi satu lawan tersungkur dikala tentera Islam mara dengan begitu semangat sambil membawa jasad sahabat Rasul yang mulia itu. Di bawah bayangan benteng kota tersebut, di situlah mereka mengebumikan beliau. Atas harapan mereka akhirnya mencapai kemenangan seiring wasiat terakhir beliau yang mahukan kemenangan mereka.

Namun harapan untuk menang nampaknya semakin jauh untuk digapai. Setelah meninggalnya Abu Ayub Al-Ansari, tentera Islam semakin tidak teratur dan semangat mereka semakin luntur. Hampir kesemua serangan mereka masih gagal untuk menembusi benteng yang kukuh tersebut dan begitulah keadaanya dalam tahun-tahun yang mendatang. Selama 4 tahun Konstantinople dikepung tanpa membuahkan apa-apa hasil melainkan jumlah kematian yang semakin meninggi. Khalifah telah bersilih ganti dan perang saudara baru mula tercetus di kalangan umat Islam. Kekalahan nampaknya sudak tidak boleh dielakkan dan mereka akhirnya membuat keputusan untuk berundur demi kebaikkan umat Islam. Tahun pada ketika itu adalah 678M.

Harapan Abu Ayub Al-Ansari untuk mendengar derapan kuda sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera itu nampaknya belum sampai masanya lagi. 800 tahun itu bukanlah jangka waktu yang singkat. Malah perbezaan hari ini dengan 800 tahun yang lepas tersangatlah bezanya (pada waktu itu Kesultanan Melaka belum wujud lagi!). Namun, janji Allah itu pasti dan apa yang diperkatakan Rasullulah itu pasti ada kebenarannya nanti. Tahun 1453M itu sungguh berbeza berbanding 800 tahun yang lepas. Meskipun benteng pertahanan Konstantinople itu semakin besar dan kukuh malah terselamat dari berpuluh serangan sebulum ini, teknologi peperangan juga sudah berubah dari penggunaan manjaniq kepada meriam yang mengubah segalanya. Pengunaan Meriam besar oleh tentera Uthmaniyah nampaknya menjadikan benteng pertahanan Konstantinople itu menjadi tidak relevan. Apanya tidak, mampukah tembok batu yang berusia ratusan tahun itu terselamat dari bedilan demi bedilan peluru besi yang dilancarkan begitu pantas?

Maka runtuhnya benteng kota Konstantinople itu menandakan kemenangan tentera Islam yang diketuai oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, pemimpin dan tentera yang disebut-sebut dalam hadis Nabi S.A.W. Derapan demi derapan kuda mula memasuki kota tersebut seiring apa yang diingini oleh Abu Ayub itu sendiri. Namun tugas Muhammad Al-Fateh tidak terhenti di situ sahaja, beliau berhasrat untuk menemukan kembali makam Abu Ayub Al-Ansari yang sekian lama dilupakan. Tiada satu orang pun yang hidup ketika itu yang tahu atau masih ingat tentang lokasi makam Abu Ayub Al-Ansari. Usaha mencari makam tersebut diketuai oleh Syeikh Agha Samsuddin, penasihat peribadi kepada Muhammad Al-Fateh yang diriwayatkan memiliki kekaramahan dan keberkatan doa berikutan jalur keturunannya yang sampai kepada Sayiddina Abu Bakar.

Diceritakan bahawa, Syeikh Agha mendapat inspirasi dari sebuah mimpi tentang lokasi sebenar makam tersebut. Apabila mereka sampai ke sebuah tempat yang terbiar dan bersemak samun, Syeikh Agha berkata: “Bahawasanya aku lihat pada suatu tempat akan nur, mudah-mudahan kuburnya itu di situlah.” Mereka pergi ke tempat tersebut dan Syeikh Agha kemudiaannya bertawajjuh (memohon kepada Allah) sambil berkata: “Berhimpunlah dengna rohnya, maka bersyukur ia akan daku dengan pembukaan (kota Konstantinople) ini”. Muhammad Al-Fateh seraya berkata: “Wahai tuan guru, saya mahu tuan guru tunjukkan kepada hamba satu alamat yang boleh saya boleh lihat dengan mata dan hati saya.” Maka Sheikh Agha kembali bertawajjuh dan setelah beberapa ketika, menyuruh mereka menggali tempat tersebut: “Gali kamu semua pada tempat ini, iaitu pada bahagian kepala sedalam dua hasta. Nescaya, akan timbullah batu nisan bertulisan dalam bahasa Ibrani,” kata beliau. Muhammad Al-Fateh kemudiannya menyuruh para pengawalnya menggali tempat tersebut. Setelah menggali sedalam dua hasta, maka terjumpalah mereka sebuah batu nisan yang terukir dengan Bahasa Ibrani. Beberepa orang pembantu Muhammad Al-Fateh yang memahami Bahasa Ibrani kemudiannya mengesahkan tempat itu sebagai lokasi makam Abu Ayub Al-Ansari. Diriwayatkan bahawa Muhammad Al-Fateh hampir rebah apabila mengetahui perihal tersebut, mujur para pengawalnya sempat memegang baginda. Setelah peristiwa tersebut, sebuah makam baru telah dibina atas perintah Sultan Muhammad Al-Fateh beserta dengan sebuah masjid (Masjid Eyüb) yang dibina berhampiran dengannya. Kota Konstantinople ditukar namanya kepada Istanbul (berasal dari perkataan Islambol yang beerti ‘kemakmuran Islam’).

Eyup 6

Kini, 600 tahun setelah jatuh ke tangan Islam, suasana aman menyelubungi Kotaraya Istanbul setelah beratus tahun berlakunya pertumpahan darah di situ. Tiada lagi derapan kuda kedengaran melainkan bunyi kenderaan yang lalu lalang di situ. Tiada lagi kedengaran bala tentera yang sedang berarak melainkan bunyi tapak kaki pelancong yang mengunjungi Masjid Eyüb dan makam Abu Ayub itu sendiri. Kini tempat tersebut dianggap sebagai tempat yang paling mulia di tanah Anatolia memandangkan ia menempatkan jasad seorang sahabat yang setia bersama perjuangan Islam hingga ke akhir hayatnya meskipun jauh sekali pengakhiran beliau dari rumahnya di Madinah, rumah yang pernah menerima Rasullulah S.A.W sebagai tetamu setelah peristiwa hijrah. Itulah kisah Abu Ayub Al-Ansari, sahabat serumah Nabi.

“Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki.” (Surah Ali Imran: 169).